Nuffnang Advertisement

Monday, December 20, 2010

Barajiwa - Filem Silat Malaysia Pertama


Pengarah filem terkenal, Osman Ali kembali ke kerusi sutradara dengan sebuah filem terbaru. Selepas mengarahkan filem CUN yang dibintangi Maya Karin dan Remy Ishak, Nuansa Sdn Bhd. meneruskan hayat industri perfileman tempatan dengan filem keduanya sebuah filem aksi bertajuk BARAJIWA.

Masih mengekalkan pelakon segak, Remy Ishak, BAWAJIWA akan turut menggandingkan Diana Danielle(Trisya), Nadia Nissa(Lara), Fizz Fairuz(Freez), Bront Palarae(Pinto) dan Mislina Mustafa(Kak Pora). Filem itu turut dibantu pendatang baru layar perak,

Mengangkat tema perjuangan, persahabatan dan cinta yang suci, BARAJIWA dilihat mampu untuk mendekatkan generasi hari ini yang sering disogokkan dengan filem aksi dari Hollywood.
“Kami sangat menghargai kerjasam dan sokongan yang diberikan oleh Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia untuk menjayakan filem ini. Penglibatan pertubuhan itu sedikit sebanyak dapat mengangkat seni silat Melayu yang jarang sekali dapat kita tonton di layar perak.” ujar Osman Ali yang mula mengorak langkah dalam dunia perfileman dengan filem pendek Bukak Api.

“Menerusi filem ini, kami akan menggabungkan silat dan filem dalam konteks yang popular. Kita pernah menontonnya menerusi filem Merantau Warrior di Indonesia, Ong Bak di Thailand yang mana mereka berjaya menggabungkan elemen seni yang mereka ada itu untuk dihayati penonton filem. Warisan persilatan yang kita ada ini perlu dipanjangkan ke generasi muda.” tambah Osman lagi.
Kesalahannya membawa dia ke penjara! Tetapi bagi Firman ia satu titik permulaan kea rah haluan hidup yang baru. Trisya pula sama seperti gadis lain yang ingin dicintai tapi apabila cinta menemuinya barulah dia sedar erti cinta yang sebenar. Free! Dia hanya memikirkan tentang kegembiraan dan berkongsi kegembiraan itu dengan kawan-kawannya. Dan Lara, jiwanya bebas dan dia mahu hidup berdikari. BARAJIWA menerokai makna persahabatan dan cinta yang sering disalah erti.

4 watak ini bertemu di WIRA CINTA; sebuah kelab di mana mereka dan kawan-kawan yang lain mempelajari ilmu persilatan. Dan di sana juga mereka menemui siapa diri mereka yang sebenar. Kelab itu dimiliki oleh Kak Pora, seorang yang amat memahami jiwa remaja seperti mereka.

Kemunculan Pinto, sahabat baik Firma masa lalu kini mencabarnya. Pulang ke tempat asal; ke jalan yang gelap atau dia akan dimusuhi Pinto selamanya!
“BARAJIWA adalah sebuah “community film” iaitu remaja yang menentang persekitaran. Kedengaran agak berat tetapi filem ini sebenarnya ringan dengan elemen romantic yang membuai perasaan.”

Pertama kali di layar filem bergenre aksi, Diana Danielle yang lebih dikenali dalam filem komersial akui berbesar hati dan berbangga apabila terpilih untuk berlakon di bawah arahan Osman Ali.

“Sudah lama saya mengimpikan untuk berlakon di bawah arahannya setelah menyaksikan filem Anak Halal. Dan hari ini impian saya itu ditunaikan, walaupun dalam waktu yang sama agak gementar kerana BARAJIWA sebuah filem aksi. Berlakon dalam filem sebegini memang memenatkan dan kami berharap akan berjaya melepasi halangan tersebut.” tambah Diana Danielle yang bakal muncul dengan filem Hanyut arahan U-Wei Hj Shaari tidak lama lagi.

Memilih Diana sebagai tunjang utama adalah didorong oleh sifat ingin melihat bakatnya berkembang. Itu pandangan Osman tentang pelakon berdarah kacukan itu.

“Setelah menonton Magika, saya melihat ada sesuatu dalam diri Diana yang boleh dikembangkan lagi. Saya sangat yakin watak Trisya boleh digalas Diana. Saya juga berharap menerusi filem ini persepsi pengkritik dan peminat terhadap Diana akan berubah. Saya juga menjanjikan kejutan buat penonton terhadap lakonan Diana berbanding apa yang pernah ditonton sebelum ini.” terang Osman lagi.

Diana yang sebelum ini lebih dikenali di layar komersial menerusi filem Magika dan Evolusi KL Drift menerima tawaran filem BARAJIWA kerana mencintai seni dan tertarik dengan kerja Osman Ali selaku pengarah.

“Saya melihat Osman merupakan seorang yang teliti dari segi lakonan dan skrip. Beliau memberikan fokus kepada setiap watak dan menganggap setiap watak memainkan peranan yang sama pentingnya dengan pelakon utama.” ujar Diana.

“Peluang bekerja dengan pengarah U-Wei Hj Shaari dalam filem Hanyut benar-benar membuka mata saya. Begitu juga dalam filem …Dalam Botol. Jika dulu saya banyak main-main, kini saya mula serius kerana menyedari filem sebeginilah yang mampu mematangkan seorang pelakon baru seperti saya. Saya mula jatuh cinta setelah berlakon …Dalam Botol dan Hanyut dan rezeki saya melimpah-limpah setelah berlakon dalam filem tersebut.” tambah Diana lagi.
Sementara itu, pelakon Bront Palarae yang baru saja dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 23 baru-baru ini hanya memegang watak pembantu. Osman selaku pengarah ada sebabnya yang tersendiri.

“Saya melihat kesesuaian watak. Saya nampak Pinto dalam diri Bront dan begitu juga Firman dalam diri Remy. Sebelum ini saya sering melihat Bront diberikan watak yang menyelitkan unsur “humor”, “charming” dan “witty”. Saya janji dalam filem ini Bront sangat berbeza.” jelas Osman.

BARAJIWA adalah sebuah cerita tentang anak muda, dan Osman mempersembahkan cerita ini dengan aksi silat dan stunt yang mengejutkan!

Bakal menelan belanja RM1.5 juta, filem BARAJIWA bakal memulakan penggambaran minggu hadapan di sekitar Kuala Lumpur dan Terengganu.

No comments:

Post a Comment